MINTA IZIN COPY N PASTE. ARTIKEL KEMAS DAN
BERSIH DARIPADA ANDUKA TARUNA. wargadaulah.blogspot.com.
ISTIQAMAH.
Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah
Hadis:
Maksudnya: "Amal kebaikan yang disukai Allah ialah yang sentiasa dilakukan
walaupun sedikit." (Riwayat Bukhari)
Rasulullah menyuruh kita istiqamah dalam melihat kecacatan dan membaikinya.
Juga dalam membuat kebaikan. Istiqamah sangat penting dalam semua hal. Sebab
itu ada kata-kata ulama yang mengatakan:
"Janganlah engkau meminta untuk jadi wali tetapi mintalah untuk istiqamah."
Mengapa? Kerana istiqamah itu ciri seorang wali. Kalau kita boleh istiqamah,
automatik jadi wali. Kalau kita minta jadi wali tetapi tidak boleh istiqamah,
maka kita tidak akan jadi wali. Jadi kita mesti minta pada Allah agar kita
boleh istiqamah dalam hal membuat kebaikan dan menjauhi maksiat supaya ciri
wali itu ada pada kita.
Mengapa istiqamah itu mudah menyebutnya tetapi susah mengamalkannya? Sebab
Rasulullah sudah sebut bahawa istiqamah itu ciri wali. Senangkah hendak jadi
wali? Tentu susah. Maka susahlah hendak istiqamah kerana ia adalah ciri wali.
Dalam Hadis tadi, Rasulullah berkata sebaik-baik amalan ialah yang sentiasa
dilakukan walaupun sedikit. Kalau kita kaji, mungkin di situ ada dua hikmahnya
iaitu:
1. Kita hendak tunjuk pada Tuhan, kita sukakan amalan itu. Sedangkan kalau kita
tidak istiqamah, seolah-olah kita benci atau jemu dengan amalan itu. Tuhan
tidak jemu beri pahala jadi mengapa kita jemu beramal?
2. Sesuatu amalan itu, walaupun sedikit tetapi ia beri kesan pada roh kita
kalau kita istiqamahkan.
Istiqamah tentang perintah suruhan ada yang lahir dan ada yang batin. Ada yang
fardhu dan ada yang sunat. Begitu juga perintah meninggalkan maksiat. Ada
maksiat batin dan ada maksiat lahir.
Kita hendak perkatakan dulu tentang perintah suruh yang lahir. Yang utama
tentulah perkara-perkara fardhu seperti sembahyang lima waktu, puasa di bulan
Ramadhan, berzakat dan naik haji. Kita ambil contoh sembahyang sebab ia ibu
segala ibadah yang lahir. Sembahyang itu bukan sahaja disuruh istiqamah
melakukannya yakni kalau sudah sembahyang maka teruskan sembahyang, bahkan
disuruh istiqamah di sudut sembahyang meliputi pelbagai aspek. Tidak bolehlah
kita istiqamah dalam aspek-aspek tertentu sahaja sedangkan kesempurnaan
istiqamah itu adalah dalam semua aspek. Kita tidak boleh kata kita sudah
istiqamah sembahyang padahal ada aspek berkaitan sembahyang yang kita tidak
istiqamahkan. Di antara istiqamah dalam mengerjakan sembahyang ialah:
1. Sembahyang di atas waktunya (awal waktu). Kalau kita boleh sembahyang di
awal waktu, teruskan di awal waktu. Jangan sekejap awal waktu, sekejap lewat.
2. Dilakukan secara berjemaah. Jangan sekejap berjemaah, sekejap tidak.
3. Ketertiban dalam sembahyang. Kalau kita memang jenis sembahyang yang tertib,
slow and steady, teruskan. Jangan sekali-sekala tertib, sekali-sekala
laju.
4. Menghayatinya. Kadang-kadang kita hayati, mendalam rasa masa sembahyang
tetapi kadang-kadang sembahyang tidak rasa apa-apa. Sembahyang yang lahir
sahaja. Istiqamahkanlah menghayati sembahyang itu.
5. Kalau kita istiqamah sembahyang sunat rawatib, teruskanlah kerana ia
menampal kecacatan sembahyang fardhu.
Beristiqamah dalam sembahyang sunat sama juga seperti sembahyang fardhu.
Sedangkan istiqamah itu antara ciri kewalian. Itulah jenis-jenis istiqamah
dalam sembahyang. Jadi kalau kita faham konsep istiqamah pada sembahyang ini
maka kiaskanlah juga pada puasa dan zakat kecuali naik haji. Haji tidak perlu
istiqamah sebab ianya cukup dilaksanakan sekali dalam hidup. Kiaslah dengan
ibadah yang lain.
Kemudian kita akan huraikan pula tuntutan istiqamah terhadap perkara rohaniah.
Ini susah kerana untuk istiqamah terhadap perkara yang lahir pun susah. Di
antara perkara rohaniah yang hendak diistiqamahkan ialah:
1. Rasa bertuhan.
Senangkah kita hendak istiqamah untuk kekalkan rasa bertuhan? Kalau waktu di
rumah, kita ada rasa bertuhan tetapi waktu berjalan hilang rasa itu.
2. Rasa kehambaan
Begitu juga rasa kehambaan. Perasaan kita terhadap Tuhan seperti rasa takut,
rasa lemah, rasa hina, itu mesti istiqamah dan berterusan. Itu lagi susah.
Katalah rasa itu ada tetapi bila disoal polis, bertukar rasa itu dari takutkan
Tuhan kepada takutkan polis. Kita ini jenis mudah bertukar-tukar rasa. Kadang
takut dengan Tuhan, kadang takut dengan polis.
3. Rasa malu
Rasa malu juga susah untuk istiqamah dan dirasakan secara berterusan.
Kadang-kadang kita malu dengan Tuhan, kadang-kadang tidak malu dengan Tuhan
tetapi lebih malu bila berdepan dengan menteri.
4. Sabar.
Tidak mudah untuk berterusan bersabar. Susah hendak istiqamah dalam bersabar.
Kadang-kadang kita sabar, kadang-kadang tidak sabar. Dengan kawan boleh sabar
tetapi dengan anak isteri tidak boleh sabar. Dengan orang lain boleh sabar
tetapi dengan anak murid, asyik hendak penampar.
Demikianlah juga dengan redha dan lain-lain sifat rohaniah. Memang susah hendak
istiqamah dengan amalan batin. Rasulullah SAW ada bersabda:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu
dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia
memandang batin kamu dan amalan-amalan kamu." (Riwayat At Tabrani)
Sudahkah kita istiqamah dengan yang batin, yang Allah lihat itu? Yang lahir
agak mudah untuk diistiqamahkan. Contohnya kalau kita seorang guru, kita
mengajar dan akan terus mengajar. Bagi yang berdakwah, terus berdakwah dan yang
berjuang, terus berjuang. Itu yang lahir. Untuk istiqamah yang batin, awal-awal
lagi diberitahu, ianya memang susah.
Kita ada usaha lahir dan usaha batin. Usaha batin inilah yang sangat sulit.
Sila ambil ingatan. Kadang-kadang ilmu begini kita tidak sedar dan kita tidak
ambil berat. Kalau kita buat sungguh-sungguh perintah Tuhan dalam melaksanakan
amalan tetapi kadang-kadang tidak berjaya, mungkin Allah maafkan. Tetapi kalau
kita terasa susah hingga kita rasa tidak mahu masuk jadi calon wali, sehingga
putus asa dengan Tuhan, itu dosa besar. Ini adalah termasuk kesalahan yang
tersirat, yang ramai orang tidak faham.
Melakukan perkara yang dilarang oleh Allah adalah dosa. Dosa ada dua yakni dosa
lahir dan dosa batin. Perlu istiqamah dalam meninggalkan maksiat lahir dan
batin ini. Di antaranya ialah:
1. Kalau kita tidak menipu, teruskan. Istiqamahkan tidak menipu itu.
2. Begitu juga dengan mencuri atau mengumpat. Istiqamahlah meninggalkannya.
Yang lahir mudah untuk kita tinggalkan tetapi yang batin lebih susah.
3. Rasa tidak sabar, itu dosa batin. Syirik khafi itu dosa batin. Contohnya,
setelah banyak kali gagal dalam usaha kita, kita pun mula persoalkan Tuhan.
Demikian juga bila dapat kejayaan, rosak hati. Terasa itu dari kemampuan kita,
bukan dari Tuhan. Jadi syirik khafi itu kalau kita mula tinggalkannya maka
tinggalkan terus kerana ia adalah salah satu dari maksiat batin. Istiqamahlah
meninggalkannya.
4. Begitu juga kalau kita tidak ada prejudis dengan orang, teruskan,
pertahankan sifat itu. Kalau kita sudah dapat kawal hasad dengki, teruskan
mengawalnya. Begitu juga dengan berdendam.
Demikianlah antara contoh-contohnya. Jadi kalau menunaikan perintah suruh yang
bersifat batin itu susah untuk diistiqamahkan maka sama halnya dengan hendak
istiqamah meninggalkan maksiat batin. Kalau kita rajin baca kitab, kita akan
tahu bahawa orang yang banyak ibadah, dia dikategorikan sebagai abid bukan
wali. Sebab abid adalah seorang yang istiqamah dalam ibadah lahir. Ini dapat
dibuktikan dengan sejarah Barsisa, seorang abid yang mati kafir sedangkan kadar
ibadah lahirnya, malaikat pun terkejut. Tetapi ibadah batinnya tidak boleh
dikawal sehingga dia mati kafir. Begitu juga seorang abid lagi iaitu Bal'am.
Akhirnya dia mati setelah berbuat maksiat.
Kalau kita lihat seseorang itu kuat beramal secara lahir, jangan kata dia wali.
Katalah dia abid sebab belum tentu dia istiqamah dengan amalan batinnya. Wali
itu diukur istiqamahnya pada amalan batinnya. Membahaskan istiqamah dalam hal
batin ini sangat sulit. Untuk kekalkan yang lahir seperti sembahyang berjemaah
pun susah apatah lagi yang batin.
Katalah dalam hal hendak istiqamah sembahyang berjemaah itu, dia boleh
berterusan berjemaah dalam empat bulan, tetapi belum tentu dia boleh kawal yang
batin. Kalau ada di dunia ini orang yang boleh istiqamah terhadap hal-hal lahir
dan batin, maka sahlah dia wali.
Bagi memperkatakan peranan wanita dalam
Islam, kita akan memperkatakan lebih dahulu tentang Islam itu sendiri. Islam
itu bukan rekaan. Islam itu bukan buatan manusia. Ia adalah satu kebenaran dari
Tuhan. Kalau kita katakan ia kebenaran dari Tuhan, ia ada bentuknya yang tersendiri.
Ia juga mempunyai dasar yang tersendiri.
Kalau hendak kita contohkan, ia seperti benda-benda lain juga, cuma yang ini
berbentuk maknawi dan rohani. Sebagai contoh kita lihat buah pisang. Pisang
itu, jika ditukar namanya kepada nama-nama lain, hakikatnya tetap tidak berubah
iaitu ia adalah pisang. Namanya boleh berubah tetapi hakikatnya tidak akan
berubah. Perubahan nama tidak akan mengubah hakikat. Jadi kalau orang hendakkan
pisang, kita pula berikan epal, maka itu sudah tidak benar. Pisang tidak akan
berubah menjadi epal walaupun namanya boleh diubah. Kalau seseorang itu tidak
suka menyebut pisang, boleh sahaja dia memanggilnya dengan nama lain tetapi
hakikatnya tidak boleh berubah. Pisang tetap pisang.
Begitu juga Islam sebagai agama dari Tuhan. Sama seperti pisang tadi cuma ia
bersifat maknawi dan rohani. Namanya juga boleh diubah. Kalau seseorang itu
tidak mahu sebut Islam, maka disebutlah dengan nama-nama yang lain, tetapi
hakikatnya tetap Islam.
Islam itu pada namanya pun sudah cantik. Islam itu ertinya selamat dan
menyelamatkan. Indah dan cantik ertinya. Cuma pada hari ini kita lihat Islam
itu tidak begitu. Lebih-lebih lagi apabila Islam itu diperjuangkan secara
militan. Apabila Islam jadi militan ertinya ia telah berubah bentuk dan dasarnya.
Ertinya itu bukan Islam walaupun slogannya Islam. Ia sama seperti kalau ada
orang meminta pisang lalu diberi epal, sudah tentu ia tidak betul. Begitulah
Islam itu selamat dan menyelamatkan, sedangkan militan itu merosakkan.
Jadi peranan wanita dalam Islam bererti peranan wanita kepada satu agama yang
selamat dan menyelamatkan. Peranan wanita dalam satu agama yang namanya Islam,
iaitu selamat dan menyelamatkan.
Islam itu juga dikatakan agama fitrah. Ia sesuai dengan instinct atau naluri
manusia. Maka instinct atau naluri atau fitrah itu adalah satu pakej yang ada
dalam diri manusia yang terdiri dari akal, roh, nafsu dan jasadnya.
Keempat-empat perkara itu tadi ia sandar-menyandar, kuat-menguatkan dan
perlu-memerlukan di antara satu sama lain. Ia tidak boleh bertindak
sendiri.
Daripada empat perkara yang ada dalam pakej ini, yang boleh dilihat dengan mata
kasar hanya jasad lahir. Akal, roh dan nafsu tidak dapat dilihat dengan mata
kasar. Tetapi yang tiga inilah yang paling penting dan besar peranannya.
Fizikal hanya mengikut sahaja. Suruh buat, ia buat. Suruh pergi, ia pergi.
Tidak ada pilihan. Kecuali kalau dia lumpuh atau kakinya patah. Jika tidak, ia
akan bertindak atas arahan tiga unsur tadi.
- Roh itu peranannya ialah berperasaan seperti rasa suka, benci, senang dan
lain-lain.
- Nafsu pula peranannya merangsang atau mendorong.
- Akal pula memikirkan apa yang dirasai tadi serta apabila didorong oleh nafsu,
bagaimana untuk berbuat. Setelah berfikir, ia mendapat satu kaedah lalu ia
mengarahkan fizikal untuk bertindak.
Berdasarkan ini, iaitu bilamana ada perasaan, dorongan dan fikiran, maka
hasilnya kita dapati tabiat semula jadi manusia itu berkemajuan. Dengan adanya
pakej tadi, manusia berkemajuan. Tidak seperti haiwan. Haiwan itu kalau dahulu
telanjang, sampai sekarang pun masih bertelanjang. Ia tidak berubah kerana
tidak ada pakej kemajuan dalam dirinya. Kalau pokok-pokok kayu itu lebih-lebih
lagilah tidak berkemajuan. Ia langsung tidak ada perasaan, akal atau nafsu.
Kalau ia maju pun kerana dimajukan oleh manusia. Dari hutan dibina rumah hingga
kelihatan cantik. Namun bukan kerana ia majukan dirinya sendiri tetapi manusia
yang memajukannya. Kalau manusia boleh hidup 1000 tahun lagi, entah apa bentuk
kemajuan lagi yang manusia akan bangunkan. Kenderaan seperti kereta dan kapal
terbang mungkin tidak lagi seperti yang ada pada hari ini.
Jadi jelaslah kepada kita bahawa watak manusia itu ialah bertamadun. Tabiat
bertamadun itu pula, bukan hanya berlaku kepada orang lelaki sahaja. Di sinilah
isi perbahasan kita. Kejadian lelaki dan wanita itu adalah sama. Kejadian asal
adalah dari tanah. Kejadian yang kedua dari air mani. Sebab itu tabiatnya sama.
Tidak ada perbezaan. Kalau lelaki ada persiapannya untuk maju, wanita juga
begitu.
Kalau begitulah Tuhan jadikan watak perempuan yang sama dengan lelaki dalam hal
tabiatnya yang berkemajuan, maka adalah salah kalau watak itu dikorbankan.
Adalah salah jika sifat madaninya iaitu sifat berkemajuan atau sifat hadharinya
iaitu sifat mahu bertamadun dihalang. Sifatnya sama dengan lelaki dan tidak
boleh berubah.
Jadi kalau Tuhan jadikan dalam diri seorang perempuan sama dengan lelaki iaitu
ada watak hendak maju, andainya disekat, itu adalah satu kesalahan dan satu
penzaliman. Jika tidak, maka untuk apa Tuhan jadikan watak hendak maju di dalam
diri seorang perempuan itu. Apabila Tuhan menjadikannya berwatak madani,
ertinya Tuhan membenarkannya bertindak untuk maju. Kemajuan itu pula dalam
semua sudut seperti makan minum, rumah, kenderaan dan lain-lainnya. Tidak boleh
dihalang atau disekat. Sebab unsur-unsur itu ada dalam dirinya sama seperti
lelaki juga.
Cuma Tuhan dengan kasih sayang-Nya tidak mahu kemajuan itu semata-mata untuk
kemajuan kerana dalam kemajuan itu ada bahayanya. Oleh itu Tuhan buatkan peraturan.
Dorongan rasa hendak maju itu sudah cantik tetapi Tuhan itu penyelamat. Dia
sangat berbelas kasihan kepada hamba-hamba-Nya lalu ditetapkan supaya maju
tetapi jangan ada huru-hara. Maju tetapi jangan ada negatifnya. Jangan ada
jenayah dan penzaliman. Sebab itu Tuhan buat peraturan. Hendak maju boleh
tetapi ada syaratnya.
Contohnya, hendak maju boleh tetapi jangan ada rasuah. Orang benci rasuah.
Jangan bergaduh dan jatuh-menjatuhkan. Apa ertinya maju kalau bergaduh. Boleh
maju tetapi jangan bergaul bebas lelaki perempuan. Sebab, kalau sudah bebas dan
berlaku berbagai salah laku dan maksiat antara lelaki dan perempuan, maka tiada
ertinya maju. Nanti dalam maju ada penzinaan, ada pelacuran, ada perogolan dan
ada penculikan. Hasilnya tidak ada erti apa-apa kemajuan itu.
Sebab itu Tuhan buat peraturan supaya semua selamat. Kaum ibu turut boleh
berkemajuan. Boleh menjadi doktor, jurutera dan lain-lainnya. Kemajuan yang
dibangunkan itu faedahnya untuk umum, bukan untuk dirinya sahaja. Faedahnya
merata tetapi disiplin kena jaga. Peraturan itu penting supaya bila berkemajuan
jangan ada yang negatif. Apa ertinya maju kalau balik ke rumah bergaduh dengan
suami kerana tidak ada disiplin? Apa erti maju jika suami tinggal di rumah,
isterinya pulang ke rumah jam dua pagi?
Tuhan benarkan maju sebab ada watak maju tetapi Tuhan buat peraturan supaya
dalam maju jangan ada negatif. Tentu tidak boleh diterima jika di atas nama
ingin maju, seorang isteri pulang ke rumah jam dua pagi. Fitrah setiap suami
adalah sama. Kalau isteri pandai memandu kapal terbang tentu suami turut
berbangga. Tetapi kalau balik ke rumah pukul dua pagi, mana ada suami yang
boleh terima.
Mengapa kalau hendak maju kena korbankan rumah tangga? Mengapa tidak boleh
diprogramkan? Kita semua hendak maju tetapi kalau sampai balik pukul dua pagi,
ia tidak betul dan boleh membawa kepada hilangnya kebahagiaan rumah tangga.
Fitrah semua manusia adalah sama.
Mengapa pemimpin-pemimpin Islam di dunia dan ulama-ulama Islam tidak boleh
susun jadual. Wanita boleh maju tetapi hendaklah diprogramkan atau dijadualkan.
Yang penting ada peraturan. Ini peranan pemimpin. Hendakkan kemajuan itu tidak
boleh dihalang tetapi kalau dibiarkan akan membawa perkara negatif. Apa ertinya
isteri-isteri yang maju boleh membuat kereta tetapi pulang ke rumah dihantar
pula oleh lelaki yang suami pun tidak kenali.
Jadi wanita juga seperti lelaki, ada kecenderungan untuk berkemajuan. Ia boleh
dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara. Yang salahnya pemimpin tidak
programkan. Akhirnya sama-sama naik. Maju pun naik, jenayah pun naik. Maju pun
naik, krisis pun naik. Maju pun naik, dedah aurat pun naik. Apa ertinya wanita
kita maju tetapi berbagai perkara negatif berlaku. Masalahnya bukan tidak boleh
maju tetapi pemimpin tidak disiplinkan. Biarlah maju dalam disiplin, barulah
selamat dan menyelamatkan.
Rasulullah adalah manusia istimewa dan luar
biasa. Pim-pinannya sangat memberi kesan. Rasulullah datang ke dunia ketika
dunia sudah terlalu kusut. Pada waktu itu, dunia sedang terlalu parah dengan
krisis, perpecahan dan peperangan yang berlaku. Bahkan pada masa itu manusia
hidup macam haiwan. Maka Rasulullah dengan kekuatan, kemampuan, keistimewaan
dan keluarbiasaan yang Allah beri padanya, boleh menyatukan aqidah dan
pemikiran manusia. Rasulullah boleh satukan manusia sama ada secara batin
mahupun fizikal. Rasulullah dapat melahirkan satu perasaan di kalangan manusia,
hingga dapat menyatukan berbagai bangsa dan etnik. Baginda juga dapat
menyatukan berbagai-bagai ideologi, aliran dan fahaman. Itulah di antara
keistimewaan Rasulullah yang tidak berlaku pada mana-mana rasul. Tidak juga
berlaku pada mana-mana pemimpin yang terdahulu dan terkemudian. Itulah
keistimewaan Rasulullah, kekasih Tuhan.
Kalau dulu, ajaran yang dibawa oleh Rasulullah macam air yang begitu jernih
yang tidak perlu diproses atau ditapis lagi kerana ianya datang dari sumber
yang asli. Siapa yang meminumnya bukan saja boleh melepaskan dahaga tetapi
boleh menyihatkan badan. Itulah ajaran Islam. Itulah kebenaran dari Tuhan.
Itulah ajaran aqidah atau tauhid, syariat dan akhlak. Inilah ajaran-ajaran
kebenaran dari Tuhan. Itulah air yang paling jernih. Air yang telah menjadi
ubat kepada dunia waktu itu. Air yang dapat membaiki aqidah, roh, nafsu, hati,
lahir dan batin manusia. Itulah kebenaran yang asli dari sumber yang asli.
Setelah lebih 1400 tahun ditinggalkan oleh Rasulullah, air kebenaran itu sudah
mengalir begitu jauh dan memakan masa yang lama. Perjalanannya begitu jauh
sebelum sampai ke destinasinya iaitu laut. Air itu sudah menempuh
berbagai-bagai keadaan sepanjang alirannya. Sudah melalui lumpur, bertemu
dengan rumput-rumput busuk, kayu-kayu yang reput dan najis-najis haiwan yang
telah bercampur baunya dengan air tersebut. Sebab itu bila sampai kepada kita
hari ini, air itu sudah berubah dan itulah yang kita minum. Ada yang minum air
mustakmal, air mutanajis dari najis mughalazah, mutawasitah, mukhafafah, air
berlumpur, air yang sudah bercampur dengan najis haiwan dan air yang sudah
bercampur dengan daun-daun kayu yang sudah busuk.
Hasil meminum air yang sudah begitu berubah, maka akibatnya adalah seperti apa
yang kita lihat sedang berlaku pada masyarakat orang Islam:
1. Umat Islam terdiri daripada berbagai bangsa dan etnik yang duduk di
berbagai-bagai negara. Setelah meminum 'air' yang sudah digambarkan tadi,
dengan maksud 'menerima kebenaran yang sudah berubah', apa sudah terjadi kepada
dunia Islam? Apa sudah terjadi kepada masyarakat Islam? Yang telah terjadi
adalah aqidah mereka dan pegangan agama mereka terbahagi kepada 73 golongan
dengan 73 mazhab. Itu yang pokok atau yang asas. Kalau dikaji dengan lebih
halus, dalam perpecahan aqidah itu ada perpecahan lagi. Dan dalam perpecahan
itu ada perpecahan lagi dan begitulah seterusnya dari segi aqidah dan dari segi
pegangan agama itu sendiri. Maka akhirnya sudah terpecah kepada 700 pecahan.
Itu perpecahan dari segi aqidah dan pegangan agama. Dari segi itu pun sudah
cukup menakutkan kita. Sudah rasa mustahil untuk disatukan semula.
2. Sesudah itu, timbul lagi perpecahan lain, contohnya perpecahan dari segi
politik. Ada yang berfahaman komunis, sosialis, kapitalis dan ada yang
berfahaman demokrasi. Ada juga yang berfahaman pragmatisme. Di dalam semua itu
ada lagi perpecahan. Di dalam kapitalis itu, ada pecahan-pecahan kapitalis.
Begitu juga dalam demokrasi, sosialis dan sebagainya. Tidak diketahui berapa
pecahannya. Itu semua tambah menakutkan. Perpecahan pertama itu pun sudah susah
hendak disatukan. Datang lagi perpecahan yang kedua dan seterusnya.
3. Berlaku pula perpecahan atas nama bangsa. Dulu Rasulullah dapat mengikat
semua bangsa dengan satu aqidah hinggakan pada waktu itu mereka malu hendak
menyebut nama bangsa masing-masing. Sebagai contoh, sebelum kedatangan
Rasulullah, seseorang itu berbangga kerana berbangsa Mesir. Di zaman
Rasulullah, mereka berbangga mengaku diri orang muslim dan bukan bangsa Mesir.
Hendak menyebut bangsa pun sudah tidak mahu. Semua etnik hanya mahu mengaku
dirinya muslim. Tetapi sekarang, masing-masing berbangga dengan bangsa sendiri.
Contohnya, seseorang itu bangga mengaku dirinya orang Melayu atau orang Arab,
Jordan, Iraq, Indonesia, Jawa, Banjar, Cina, Turki dan sebagainya. Atas nama
bangsa, berpecah lagi. Dalam satu bangsa pula berpecah lagi sehingga entah
berapa ratus perpecahan kecil. Lagilah rasa mustahil hendak disatukan.
4. Tidak cukup dengan itu, ditambah lagi dengan perpecahan-perpecahan di sudut
lain pula. Contohnya, perpecahan dari sudut status. Orang kaya tidak boleh
bersatu dengan orang miskin. Orang pandai tidak boleh bersatu dengan orang yang
tidak pandai. Orang yang ada jawatan tidak boleh bersatu dengan yang tidak ada
jawatan. Berpecah lagi atas nama status. Bahkan dalam perpecahan status itu
pun, banyak lagi perpecahan-perpecahan kecil. Lagi menakutkan. Sehingga terasa
sudah hancur lebur umat Islam hari ini. Tidak cukup dengan perpecahan itu,
timbul lagi perpecahan orang kampung tidak boleh bersatu dengan orang
bandar.
5. Kita belum lagi menceritakan atau menggambarkan perpecahan di sudut umat
Islam tidak beramal. Dari huraian tadi, dapat dilihat dengan akal tentang
gambaran perpecahan manusia dan umat Islam serta sudut-sudut perpecahan.
Kalaulah perpecahan-perpecahan yang sudah banyak berlaku seperti yang
digambarkan tadi adalah perpecahan yang berlaku sambil umat Islam terus
beramal, maka itu masih boleh tahan. Boleh tahan kalau dikatakan seseorang itu
walaupun berbeza dan tetap dengan apa yang dipunyainya dan apa yang ada padanya
tetapi tetap bertindak dan beramal dengan amalan yang sama. Tetapi
kebanyakannya tidak beramal. Keyakinan masing-masing yang sampai berpecah
dengan orang lain itu dalam keadaan tidak beramal. Buktinya boleh diambil dari
satu sudut yakni ibadah. Dalam 73 mazhab itu, dalam setiap satu mazhab, ramai
yang tidak sembahyang. Maknanya mazhab itu boleh dinamakan mazhab yang tidak
beramal. Kalau ada mazhab yang beramal, itu boleh tahan. Setidak-tidaknya,
nampaklah hasil dari keyakinan itu, iaitu ada sikap, tindakan, atau projek yang
terhasil. Setidak-tidaknya bagi orang yang hendak mencari kebenaran boleh memilih
berdasarkan hasil dari keyakinan itu. Tetapi 73 mazhab yang berpecah itu ialah
mazhab yang tidak beramal.
6. Dalam 73 mazhab itu, ada yang berjuang dan ada yang tidak berjuang walaupun
aqidahnya sama. Orang yang berjuang dan tidak berjuang bukan boleh berdekatan.
Mereka sentiasa renggang. Itu satu perpecahan lagi iaitu perpecahan antara yang
berjuang dan yang tidak berjuang. Bagi yang berjuang pula ada bermacam-macam
cara, walaupun dalam satu fahaman dan dalam aqidah yang satu. Bila hendak
berjuang, lahirlah teknik, cara atau method yang tidak sama. Ada yang militan,
ekstrim, cara politik, cara kebajikan, ada cara kasih sayang dan sebagainya.
Dalam perjuangan pun ada perpecahan lagi.
7. Berlaku juga perpecahan di aspek lain iaitu dalam hal perasaan-perasaan yang
dinamakan mazmumah. Ini disebut perpecahan dalam mazmumah. Setiap mazhab ada
yang hasad dengki, lahirlah mazhab hasadiah (hasad dengki). Begitulah
seterusnya, lahir mazhab pemarah, mazhab ego dan berpecah lagi kepada
pecahan-pecahan lain.
Jadi kalaulah masyarakat orang Islam sudah begitu sekali rupa perpecahannya
sehingga tidak ada satu sudut kecil pun yang tidak ada perpecahan, ertinya,
bolehlah dikatakan masyarakat umat Islam ini sudah kronik penyakitnya dan sudah
menunggu maut atau nazak. Para doktor pun sudah bingung, bagaimana hendak
mengubatinya. Malah para doktor pun terkena penyakit yang sama. Walaupun ada
doktor namun hakikatnya seperti tidak ada doktor.
Kalau diibarat barang busuk, dunia Islam ini penuh dengan najis. Tidak tahu
bagaimana hendak dibasuh atau di mana hendak dimulakan proses pembersihan itu.
Walaupun ulama ramai tetapi ulama pun terkena najis yang sama.
KEDATANGAN MUJADDID SETIAP AWAL KURUN
Oleh kerana dunia hari ini sudah tidak ada rasul maka jangan menganggap bahawa
ada lagi rasul yang akan datang. Bahkan sesiapa yang menganggap ada lagi rasul
yang akan datang, ia kafir kerana anggapan itu bertentangan dengan Hadis dan
bertentangan dengan Al Quran. Tetapi dengan kasih sayang Tuhan, walaupun tidak
ada lagi rasul dan nabi, Tuhan melahirkan pemimpin yang ditunjuk, yang bukan
rasul dan bukan nabi tetapi berwatak rasul. Tidaklah 100% berwatak rasul tetapi
sebahagian besarnya ada watak rasul. Tentulah pemimpin itu dibezakan daripada
rasul yang sebenar. Dan pada peribadinya ada watak-watak rasul. Itulah yang
dikatakan mujaddid atau reformer (yang membaharukan).
Mujaddid inilah yang Tuhan utuskan setiap 100 tahun sekali iaitu setiap awal
kurun hijrah sebagai pengganti rasul sebab rasul sudah tidak ada. Sekarang,
umat Islam sudah menerima kedatangan 14 orang mujaddid. Peranan mujaddid itu
pula tidak sama antara kurun ke kurun kerana tugasnya hendak membaiki
masyarakat mengikut sekadar rosaknya masyarakat itu. Sebagai gambaran, kalau
seorang doktor berhadapan dengan seorang pesakit yang penyakitnya ringan
sahaja, doktor tersebut hanya memberi pil-pil sahaja. Itu sudah cukup. Tidak
perlu diberi suntikan dan rawatan lain kerana dengan makan pil sudah mencukupi.
Jadi, apabila mujaddid datang, Tuhan berikan ilmu kepada mereka sekadar untuk
membolehkan mereka membaiki apa yang rosak di zamannya. Contohnya, mujaddid
pertama iaitu Umar bin Abdul Aziz, hanya membaiki sistem pemerintahan. Sebab
masyarakatnya pada waktu itu masih lagi masyarakat salafussoleh, iaitu
masyarakat yang masih baik dan tidak rosak. Masyarakat yang baik yang disebut
oleh Rasulullah ialah 300 tahun dari zaman Rasulullah. Umar bin Abdul Aziz
datang 100 tahun selepas Rasulullah. Ketika itu aqidah, ibadah, syariat dan
akhlak masih baik. Yang sudah mula rosak sedikit ialah sistem pemerintahannya.
Sebab itu dia tidak perlu umur yang panjang. Dia hanya hidup (sebagai mujaddid)
di dua tahun pertama, awal kurun kedua. Selepas itu dia wafat.
Selepas itu datang mujaddid yang kedua, pada awal kurun yang ketiga, iaitu Imam
Syafie. Zaman itu masih sekitar zaman salafussoleh. Jadi kedatangan beliau
tidaklah pula untuk memproses aqidah atau akhlak kerana semua itu masih baik.
Bahkan perpaduan masyarakat masih baik. Tetapi ada masalah pada masa itu iaitu
para ulama tidak pandai berijtihad. Sedangkan dunia sudah berkembang dan banyak
hal-hal baru yang tidak ada di zaman Rasulullah tetapi sudah mula ada pada
zaman itu. Masyarakat Islam mahukan panduan macam mana hendak melihat perkara
ini dari perspektif Al Quran dan Hadis. Maka Allah bagi ilmu itu kepada Imam
Syafie. Di tangan beliau lahirlah Usul Fiqh dan Qawa'idul Fiqh. Kaedah yang
dibawanya diguna pakai oleh semua mazhab sehingga ke hari ini.
Jadi orang sudah mula pandai berijtihad dalam hal-hal fekah menggunakan dua
panduan tadi. Mazhab-mazhab yang datang kemudian ikut merujuk kepada kaedah ini
dan menerima kaedah Imam Syafie. Selepas selesai kerjanya, Imam Syafie wafat
pada 204 Hijriah. Dia menjadi mujaddid hanya selama 4 tahun sejak tahun 200
Hijriah.
Kemudian lahir mujaddid yang ketiga iaitu Abu Hasan Al Asyaari. Masih dalam
sekitar 300 tahun selepas Rasulullah iaitu zaman salafussoleh. Oleh kerana
Islam sudah 300 tahun umurnya maka fahaman-fahaman luar seperti dari Yunani,
Parsi, India dan lain-lain mula mempengaruhi umat Islam. Fahaman-fahaman
tersebut membawa Muktazilah dan sebagainya. Maka aqidah umat Islam sudah mula
dikotori. Sebab itu mazhab pertama dari segi aqidah ialah fahaman Muktazilah.
Imam Abu Hasan Al Asyaari, mujaddid ketiga datang untuk membaiki sudut aqidah
yang sudah bercampur dengan fahaman Muktazilah. Oleh kerana hendak menolak
fahaman-fahaman falsafah yang merosakkan aqidah umat Islam maka Tuhan bekalkan
khusus kepada Imam Abu Hassan kaedah mempelajari ilmu tauhid iaitu sifat 20.
Jadi hinggalah seterusnya, apabila sudah keluar dari zaman salafussoleh,
kerosakan semakin banyak. Mujaddid-mujaddid yang datang adalah untuk membaiki
kerosakan-kerosakan yang semakin banyak. Sekarang sudah 15 kurun berlalu.
Kerosakan itu sudah berlaku di semua sudut. Sudut aqidah, syariat, cara
berfikir, ekonomi, politik, perpaduan dan lain-lain lagi. Maka mujaddid kurun
ini sangat berat kerjanya. Seolah-olah macam kedatangan para rasul yang hendak
membaiki semua penyakit secara total. Sebab itu di kurun ini ada dua orang
mujaddid diutuskan yang bertujuan untuk kuat-menguatkan iaitu yang pertama
Pemuda Bani Tamim dan yang kedua Imam Mahdi.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Daripada Dzar, dari Abdullah, Rasulullah SAW bersabda: "Jika
umur dunia tinggal sehari sahaja, nescaya Allah SWT memanjangkan hari itu
sehingga bangkit padanya seorang lelaki dari keturunanku atau dari kaum
keluargaku, yang namanya menyerupai namaku dan nama bapanya menyerupai nama
bapaku, dia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana
(sebelumnya) bumi dipenuhi kezaliman dan kekejaman." (Riwayat Abu Daud dan
Tirmizi)
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar r.a., bahawa Rasulullah SAW sambil memegang
tangan Sayidina Ali, baginda berkata: "Akan keluar dari sulbi ini seorang
pemuda yang memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu meyakini
demikian itu hendaklah bersama Pemuda dari Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia
datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang panji-panji Al Mahdi."
(Riwayat At Tabrani)
Kedua-dua mujaddid ini akan bergabung untuk membaiki kerosakan umat yang telah
berlaku secara total. Mereka akan mengembalikan dunia kepada suasana aman
damai, harmoni, bersatu padu, membawa keadilan dan kemakmuran. Manusia kembali
cinta dan takutkan Tuhan. Tuhan akan dibesarkan dan diagungkan dalam setiap
aspek kehidupan manusia sejagat.
Mari kita mengimbas kembali pangkal sejarah yakni sejak zaman Rasulullah hinggalah
ke zaman 300 tahun selepasnya. Walaupun jangka masa empayar Islam itu 700 tahun
tetapi selepas 300 tahun yang pertama, ia sudah berpecah-pecah. Sudah ada
banyak kerajaan dan kesemuanya tidak merujuk pada satu sumber atau satu
ketua.
Ertinya, walaupun Islam pernah menguasai dunia selama 700 tahun tetapi selepas
300 tahun yang awal, tempat rujuknya sudah banyak sebab waktu itu sudah mula
berpecah-pecah. Ada kerajaan Abbasiyah, Fatimiyah dan lain-lain lagi. Sehingga
sampai ke 700 tahun itu, masyarakat Islam antara bangsa sudah banyak tempat
rujuknya. Yang terima kerajaan Abbasiyah, merujuk ke sana, maka ada kawasan
yang dikuasainya. Orang yang terpengaruh dengan kerajaan Fatimiyah, merujuk
kepada pemerintahnya dan ada pula kawasannya. Waktu itu walaupun Islam masih
lagi menguasai dunia, sudah tidak ada perpaduan.
Keadaan umat Islam yang betul-betul bersatu dan berpadu, yakni hanya merujuk
kepada satu ketuanya ialah di sekitar 300 tahun selepas Rasulullah. Inilah yang
solid. Rupa-rupanya kalau kita baca sejarah jemaah Islam, waktu gagah dan waktu
kuatnya itu bukan waktu ramai pengikutnya. Waktu itu pengikutnya sedikit tetapi
ada wibawa. Di sini akan dibawakan beberapa contoh:
Contoh 1:
Di zaman Rasulullah SAW, walaupun bangsa Arab itu hampir seluruhnya masuk Islam
kecuali sedikit sahaja yang tidak Islam, tetapi ia jadi kuat kerana ada satu
kelompok kecil yang menunjangi iaitu puak Quraisy. Bangsa Arab ada banyak puak
dan puak Quraisy adalah tunjangnya. Kerana wibawanya tinggi, ia disegani dan
dihormati hingga orang bukan Islam pun percaya dan yakin, maka puak Quraisy
inilah yang menaungi orang Arab sama ada Islam atau bukan Islam. Akhirnya ia
menaungi tiga suku dunia. Bertambah banyak bangsa-bangsa dan etnik-etnik yang
duduk di bawah naungannya. Ada yang Islam dan ada yang tidak Islam. Jadi jangan
sangka kekuatan itu ada pada seluruh bangsa Arab. Ia ada pada terasnya sahaja
yakni pada puak Quraisy.
Kemudian teras itu beralih kepada kerajaan Muawiyah. Waktu itu kerajaan Islam
masih merujuk kepada Muawiyah. Jemaah Islam ketika itu masih ada wibawa sebab
itu diyakini dan disegani. Bangsa Arab berbaris di belakangnya, sama ada Islam
mahupun yang bukan Islam. Termasuk juga bangsa asing, yang Islam dan yang tidak
Islam. Selepas itu beralih pula kepada puak Abbasiyah. Pun masih ada wibawa.
Dunia masih merujuk pada kepimpinan yang satu.
Selepas pemerintahan Abbasiyah itu hingga 700 tahun, walaupun Islam sudah
kuasai tiga suku dunia, tempat rujuknya sudah tidak sama. Kerajaan Islam yang
berkuasa sudah tercaing-caing dan berpecah kepada tiga. Ada yang merujuk kepada
Abbasiyah, Muawiyah dan Fatimiyah. Tetapi kalau orang tidak belajar sejarah
Islam, dia akan menganggap selama 700 tahun Islam berkuasa itu, seolah-olah
merujuk kepada satu pimpinan. Sebenarnya waktu itu sudah ramai pemimpin, sudah
banyak tempat rujuk dan tempat bernaung. Di sini kita nampak ramainya umat
Islam bukan bererti kuat. Perpecahan itu menunjukkan kelemahan. Banyak tempat
rujuk menunjukkan kelemahan. Luasnya daerah yang dikuasai itu tidak semestinya
menunjukkan kekuatan. Itu bukti sejarah.
Perlulah kita faham bahawa jemaah Islam yang ada wibawa itu ia boleh diterima
oleh orang sama ada yang Islam atau kafir walaupun pengikut jemaah itu sedikit.
Orang Islam dan kafir senang hati untuk bernaung di bawahnya. Walaupun pengikut
jemaah itu sedikit tapi sangat berwibawa. Di sinilah kita hendak belajar supaya
jangan berfikir sesebuah jemaah itu perlu kepada ahli yang ramai sahaja tetapi
tidak ada wibawa. Sedikit pun tidak mengapa asalkan ada wibawa. Hasilnya yang
bukan ahli pun boleh terima sekalipun bukan Islam.
Contoh 2:
Di Turki, bangsa yang terkenal ialah Saljuk tetapi Tuhan memilih bangsa
Uthmaniah untuk membangunkan empayar Islam, yang mana pengasasnya, Uthman,
lahir di kawasan hulu. Hulu itu bolehlah diibaratkan seperti di Hulu Tembeling.
Dia berjuang sehingga dapat menawan seluruh negeri dan akhirnya berjaya menawan
seluruh negara, yang memakan masa beratus tahun. Setelah beratus tahun, apabila
sampai kepada generasi Muhammad Al Fateh, barulah bangsa itu dapat satu
kekuatan yang terpusat. Dari keturunannya, dia dapat menawan seluruh Timur dan
Barat. Padahal di Turki itu, terdapat banyak bangsa dan etnik. Puak Saljuk juga
pernah berkuasa tetapi tidak sempat meluaskan kuasanya. Mungkin kerana tidak
ada wibawa dan tidak ada pemimpin yang pandai.
Ini adalah satu contoh dalam dunia Islam. Di sini baru kita faham faktor kuat
bukan kerana bilangan yang ramai dan banyak aset, tetapi adalah kerana wibawa
sehingga orang yakin dan boleh menerima. Orang Islam yang tidak fikir tentang
perjuangan pun boleh terima.
WIBAWA PADA PEMIMPIN
Wibawa adalah kekuatan bagi seorang pemimpin. Dari situlah orang boleh
menerimanya. Sehingga orang kafir pun boleh jatuh hati padanya. Apakah
ciri-ciri pemimpin yang berwibawa?
1. Berakhlak mulia dan bertaqwa
Pemimpin berwibawa itu mempunyai akhlak mulia dan sifat taqwa.
2. Ada cita-cita besar
Bila bercita-cita besar, jiwanya besar. Oleh kerana ada cita-cita besar dan dia
hendak mencapainya maka dia gigih berjuang.
3. Sangat sabar dan tabah
Dia tidak mudah kecewa dan merajuk. Walaupun ada ketikanya, setelah diuji,
pengikutnya lari dan tinggal sedikit, dia teruskan perjuangannya. Dia sangat
degil dan hatinya juga degil dalam menempuh kesusahan ujian dan cabaran.
4. Ilmunya dari Tuhan
Dia mendapat ilmu dari Tuhan, bukan dari hasil membaca. Kalau membaca pun, itu
hanya peringkat asas. Kalau Tuhan tidak beri dia ilmu, dia bukan sahaja tidak
jadi pemimpin, malah dia hanya jadi orang Islam biasa yang dianggap tiada ilmu.
Orang yang diberi ilmu oleh Tuhan, kalau dia rasul, itu dipanggil wahyu. Kalau
bukan rasul, ilmu itu dinamakan ilham. Tuhan beri ilmu laduni, yang kerana
itulah dia jadi pandai. Padahal dia tidak belajar sangat. Ilmu hasil belajar
hanya ilmu asas sahaja. Ertinya ilmunya yang banyak bukan dari hasil dikutip di
sana sini. Dia ada lubuknya sendiri. Kalau ibarat intan berlian, dia ada
lombongnya sendiri. Tidak perlu mengambilnya dari tempat lain. Tetapi kalau
pemimpin itu ilmunya dikutip dari sana dan sini, dia bukanlah pemimpin Islam
sebenar. Sebab itu pemimpin seperti itu, sebelum dia beri motivasi atau sebelum
dia beri kuliah, dia mencatat dahulu. Kalau hilang catatannya, tidak dapatlah
dia memberi kuliah. Kalau tertinggal di dalam beg di rumah, dia akan patah balik.
Bila orang dengar kuliahnya, rupanya sudah ada orang yang mendengar kuliah yang
sama di tempat lain.
Pemimpin Islam yang ada wibawa, ada ilmunya tersendiri. Kecuali yang berkaitan
dengan hukum-hakam. Itu memang sudah tetap. Yang halal haram sudah memang tetap
dari dulu hingga sekarang. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu yang di
luar hukum-hakam. Orang yang mendengar ilmunya tidak jemu-jemu kerana ada
sahaja benda baru yang diperkatakan. Juga tidak ada ulama lain yang boleh
mengaku ilmu itu dia yang ajar atau datang dari dia. Itulah dia wibawa yang
keempat yang bersangkutan dengan ilmu.
5. Orang boleh merujuk kepadanya
Dia menjadi tempat rujuk dalam semua masalah, bukan hanya yang berkaitan dengan
hukum-hakam, tetapi juga dalam hal ekonomi, politik dan lain-lain.
6. Mampu mendidik pengikutnya
Dia mampu mendidik pengikutnya sehingga boleh berubah daripada negatif kepada
positif. Malah kadang-kadang perubahannya itu secara mendadak. Itulah pemimpin
yang ada wibawa. Kadang-kadang ulama atau pemimpin itu, walaupun bersyarah
bertahun-tahun tetapi manusia tidak pun berubah.
7. Pandai berstrategi dan pandai menggelecek
Kalau diibaratkan seperti memandu kereta, apabila ada sahaja kayu yang
menghalang atau ada lubang, dia pandai mengelak. Kalau tidak berstrategi,
berlakulah banyak kerosakan terutamanya kepada pengikut. Itu adalah di antara
sifat-sifat pemimpin berwibawa di dalam sesebuah jemaah Islam. Apabila ada
wibawa, Tuhan akan backing dari belakang. Atas nama pemimpin itulah jemaah itu
ditolong oleh Tuhan.
8. Pandai memilih pemimpin-pemimpin di bawahnya
Dia akan pandai membina satu team kepimpinan yang juga ada wibawa, yang mana
mereka ini menerima ilmu dari satu sumber iaitu dari pemimpin nombor satu.
Kalau sebuah jemaah, team kepimpinannya ada pandangan masing-masing maka ini
sangat merbahaya kerana ada pendapat yang berbeza. Maka tidak ada wibawalah
jemaah itu. Fenomena ini berlaku kepada jemaah-jemaah yang ada sekarang.
Apabila mengulas satu-satu isu, nyata tidak sama pendapatnya. Orang pun terkeliru.
Jemaah Islam yang sebenar itu, pimpinan dan rohnya adalah sama. Perasaannya
sama sebab sudah sampai ke kemuncaknya. Hendak menyatukan akal pun sudah susah,
apalagi hendak menyatukan roh. Itu lagi payah.
WIBAWA PADA PENGIKUT
Ciri-ciri pengikut yang berwibawa ialah:
1. Boleh menerima ilmu-ilmu daripada pemimpin
Oleh kerana pemimpinnya berwibawa, dengan bantuan Tuhan, pengikut-pengikutnya
boleh menerima ilmu-ilmu dari pemimpinnya.
2. Sangat taat
Pengikut-pengikutnya sangat taat sehingga orang kafir menganggap mereka
fanatik. Seperti yang berlaku di zaman Rasul, ada yang menganggap para Sahabat
terkena sihir. Masyarakat ada yang menganggap tidak munasabah sekali kerana
mereka ini mengikut secara melulu. Tentu mereka ini disihir. Tuduhan sihir dan
fanatik ini sebenarnya membuktikan sejarah telah berulang. Tuduhan yang sama
telah dilemparkan kepada pemimpin dan jemaah benar yang terdahulu. Sebab-sebab
berlakunya di luar logik akal.
3. Memiliki akhlak yang mulia
Pengikut yang berwibawa mempunyai akhlak yang mulia.
WIBAWA PADA JEMAAH
1. Pengikut faham dasar perjuangan
Jemaah yang ada wibawa itu mempunyai pengikut yang sedikit, namun demikian
pengikut yang sedikit itu faham akan dasar perjuangan pemimpinnya.
2. Boleh melaksanakan sistem hidup Islam
Jemaah yang ada wibawa itu, ia boleh melaksanakan sistem hidup Islam di dalam
jemaahnya seperti mana Rasulullah bersabda, 'zohirina alal haq', iaitu
menzahirkan kebenaran dalam jemaahnya. Rasulullah tidak pula bersabda 'qa ilina
alal haq', iaitu bukan memperkatakan sahaja tentang kebenaran. Ertinya satu
sistem hidup Islam itu wujud di dalam jemaah. Jika orang hendak merujuk hal-hal
berkaitan dengan bidang ekonomi, kebudayaan dan lain-lain, semuanya sudah
wujud. Bertambah indahlah jemaah itu. Dan ia akan memukau semua orang termasuk
yang bukan Islam. Ini menunjukkan, walaupun pengikut-pengikutnya sedikit tetapi
pengaruhnya sangat besar.
Janganlah Ramadhan dijadikan pesta makan minum
Janganlah jadikan Ramadhan banyak tidur-tidur sahaja di siangnya
Janganlah jadikan Ramadhan selepas sedikit ibadah sembahyang
kemudian berbual dan borak-borak yang banyak
Selepas berbual-bual banyak pulang ke rumah kemudian tidur, malam tidak bangun
pula menghidupkan malam bersama Tuhan
Ramadhan bukan sekadar menghidupkan malam, siang berlapar-laparan
dan berletih-letihan
Ramadhan adalah untuk menghidupkan fikiran, hati dan jiwa dengan rasa bertuhan
Ramadhan hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah
dan rasa kerdil di hadapan Tuhan yang Maha Kuasa
Ramadhan hendak mengimarahkan jiwa dengan rasa rendah diri, takutkan Tuhan,
cintakan-Nya, rasa bertuhan sentiasa
Ramadhan hendak menghidupkan jiwa timbang rasa sesama manusia
Rasa kasih sayang, simpati sesama manusia yang derita, yang tidak punya apa-apa
Ramadhan hendak menebalkan rasa berdosa, takut kalau terlibat lagi dengan dosa
Ramadhan hendak rasa agung-Nya Tuhan, hebat dan kuasa-Nya Tuhan
Ramadhan bukan sekadar ibadah luaran-luaran yang meriah dan ceria
yang dalam gelap-gelita
Yang penting jiwa hendak dihidupkan, memeriahkan yang di dalam jiwa
Tuhan pandang bukan yang luaran tapi yang di dalam
Tuhan hendak melihat yang di dalam batin manusia apakah hidup jiwanya rasa
bertuhan
Siangnya berpuasa, malam sembahyang, banyak membaca Al Quran
untuk memberi cahaya kepada jiwa yang selama ini gelap-gelita
Membanyakkan berzikir bukan lafaznya tapi penghayatannya
Berzikir bukan sekadar menyebut di lidah tapi menyebut di hati, dirasa oleh
jiwa
Berzikir bukan di lidah tapi ingatan di hati
Kedatangan Ramadhan adalah dengan tujuan hendak menghidupkan hati
yang mati sebelumnya
Moga-moga kesan sebulan menghidupkan hati tahan setahun lamanya
Kemudian Ramadhan datang lagi hidupkan pula lagi hati yang mati
tahan pula setahun lagi
Itu bagi orang awam yang selalu sahaja cuai dan lalai
Bagi orang yang bertaqwa jiwanya hidup setiap masa
Kedatangan Ramadhan hanya untuk darjat dan pangkat di sisi Tuhannya
Tapi kalau kedatangan Ramadhan tidak pun menghidupkan jiwa
Luar meriah di dalam tidak meriah
Luar terang-benderang dengan syariat lahir, syariat batinnya gelap
Kalau di luar Ramadhan tentulah lebih-lebih lagi malang
Gelaplah hati sepanjang tahun
Tidak ada masa hati yang terang, sungguh malang
Selasa, 17 Julai 2012
Ramai orang bersalah kerana kesalahan orang lain
Bahkan sering sahaja berlaku orang buat salah
kerana kesalahan orang
Adakalanya kesalahan itu lebih besar
daripada kesalahan orang terhadapnya
Mengikut Tuhan, orang yang bersalah
kerana orang itu membuat salah kepadanya
tetap dianggap salah
Itu berdendam namanya
berdendam adalah salah dan haram
Tiada siapa yang boleh menghukum orang lain
sekalipun membuat salah kepadanya
kecuali melalui pemerintah
Kesalahan itu mestilah dihukum
mengikut ketentuan Allah
atau yang tidak ditentukan adalah takzir
berdasarkan kebijaksanaan hakim
Kesalahan yang berlaku kerana kesalahan orang
lumrah berlaku di mana-mana sahaja
di dalam kehidupan
Orang sombong dengannya
dia pun berdendam dengannya
menunggu peluang untuk merosakkan orang itu
dia pun fitnah orang itu
Orang tipu dia, dia pun marah
kemudian orang itu dipukulnya
Orang fitnah dia, dia pun sakit hati
dibakarnya rumah orang itu hingga musnah
Ada orang mengganggu anak isterinya
kerana marah, dibunuhnya orang itu
kesalahannya lebih besar daripada orang itu
Ada orang menghina dia, dia pun membenci
setiap kali bertemu dimakinya orang itu
Orang curi barangnya
dia umpat merata negeri orang itu
hingga orang itu malu
Tidak kurang ada orang mencerca kita
mengata-ngata kita, kita doakan dia kebinasaan
atau kecelakaan
Cukup sekadar itu sebagai contoh
yang lain kiaskan sahaja
Begitulah umat Islam hari ini di seluruh dunia
mereka sering berdosa
kerana dosa orang lain kepadanya
Mereka melakukan kesalahan
kerana kesalahan umat Islam yang lain kepadanya
Di mana ada persaudaraan?
Di mana kasih sayang?
Di mana perpaduan?
Di mana maaf-bermaafan?
Maaf-bermaafan sudah tidak ada
bertolak ansur sudah tidak berlaku
berlapang dada sudah hilang
Di dunia hari ini, orang menilai masalah
tidak sama. Masalah yang dimaksudkan di sini ialah sesuatu yang orang tidak
suka. Sesuatu yang menekan dan menyusahkan orang. Sesuatu yang menghimpit, yang
membuatkan orang risau, bimbang dan susah hati. Kebanyakan masalah tidak
disukai orang. Jadi, masalah yang tidak disukai oleh manusia itu dinilai tidak
sama. Kadang-kadang masalah tidak dikatakan masalah. Manakala yang bukan
masalah dikatakan masalah.
Pandangan orang secara umum hari ini, ada di antara masalah itu sangat ditakuti
bahkan hendak dibanteras. Di antaranya ialah masalah kemiskinan, sakit atau
kemunduran. Sedangkan pada Tuhan dan pada orang bertaqwa, sakit, miskin dan
kemunduran bukan masalah. Tuhan tidak kata, siapa mundur berdosa atau masuk
Neraka. Adakah Hadis atau ayat Al Quran yang mengatakan, "Siapa sakit
masuk Neraka," atau "Siapa sakit Tuhan benci?" Kalau tidak ada,
itu menunjukkan ia bukan masalah.
Jadi kenapa manusia menganggap sesuatu yang Tuhan katakan bukan masalah itu
sebagai satu masalah. Mengapa kebanyakan manusia sama ada pemimpin, ulama atau
rakyat biasa menganggap perkara-perkara yang disebutkan tadi itu sebagai
masalah. Malah apa yang menjadi masalahnya di sini ialah bilamana masalah yang
bukan masalah itu dijadikan masalah, maka ia menimbulkan masalah yang lebih
besar lagi. Jadi apakah masalah yang sebenarnya? Apakah masalah yang paling
besar? Siapakah yang boleh menjawab persoalan ini?
Sebenarnya masalah yang paling besar ialah tidak takut Tuhan. Namun tidak
pernah orang sebut bahawa masalah tidak takut Tuhan itu masalah yang paling
besar. Walhal, masalah yang paling besar di dunia hari ini ialah orang tidak
kenal dan tidak takut Tuhan.
Apakah kesannya bila orang tidak takut Tuhan?
1. Apabila tidak kenal dan tidak takut Tuhan, perkara yang sepatutnya bukan
masalah menjadi masalah
Contohnya kemiskinan sepertimana yang disebutkan di atas tadi. Walaupun
kebanyakan manusia tidak suka miskin, tapi ia bukan masalah. Bagi orang miskin
yang tidak kenal dan tidak takut Tuhan, kemiskinan menjadi masalah kepadanya.
Bila menjadi masalah, orang susah hati, menderita, jadi risau dan resah, maka
ia menjadi masalah.
Ia akan lebih lagi menjadi masalah kalau mereka tidak sabar. Akhirnya mereka
mencuri, menipu, merompak dan mungkin membunuh orang. Bila masalah yang pertama
itu wujud, iaitu tidak takut Tuhan, yang tidak menjadi masalah seperti
kemiskinan akhirnya menjadi masalah.
2. Apabila tidak takut Tuhan, perkara yang bukan masalah, iaitu perkara yang
disukainya, pun menjadi masalah
Di antaranya ialah pandai. Pandai bukan masalah. Begitu juga kaya, ia bukan
masalah kerana semua orang suka. Berjawatan tinggi bukan masalah sebab semua
orang suka. Jadi pemimpin juga bukan masalah. Tetapi bila masalah yang satu itu
wujud iaitu tidak takut Tuhan, perkara yang bukan masalah menjadi masalah. Ini
lebih-lebih lagi ramai manusia yang tidak sedar dan tidak faham. Sebagai
contoh:
a. Pandai
Pandai itu bukan masalah. Tanyalah sesiapa pun. Tidak ada siapa pun yang
berkata tidak mahu menjadi pandai kerana ianya menjadi masalah. Tidak ada orang
yang mengatakan yang pandai itu akan menjadi penyakit masyarakat.
Sebaliknya hari ini, kepandaian sudah menjadi masalah kerana tidak takut Tuhan.
Bila pandai tetapi tidak takut Tuhan, datang sifat sombong hingga menjadi
masalah. Datang rasa ego hingga menjadi masalah. Bila pandai dan tidak takutkan
Tuhan, dia menghina orang yang tidak pandai. Bukankah itu sudah menjadi
masalah? Padahal kepandaian sebenarnya bukan masalah. Tetapi bila manusia tidak
takut Tuhan, yang bukan masalah menjadi masalah. Pandai pun boleh jadi masalah.
Kerana pandai, boleh bergaduh.
Jadi puncanya ialah tidak takut Tuhan. Tidak takut Tuhan inilah yang mesti
dibanteras dulu. Inilah punca masalah. Bagi orang yang tidak takut Tuhan, yang
bukan masalah pun menjadi masalah betapalah kalau memang perkara itu masalah,
bertambah lagilah bermasalah dan berentetanlah masalah itu. Justeru itu kita
mesti kempen supaya orang takutkan Tuhan.
b. Kaya
Kaya juga bukan masalah. Semua orang hendak dan suka menjadi kaya. Tetapi bila
tidak takut Tuhan, orang kaya akan melahirkan masalah seperti menjadi bakhil,
tamak, sombong, melakukan pembaziran, nafsi-nafsi, menghina orang miskin dan
lain-lain lagi. Dari situ timbul bermacam-macam masalah dalam masyarakat. Di
sini kita lihat, betapa banyak masalah timbul dari sesuatu yang bukan masalah
hanya kerana tidak takut Tuhan.
c. Pemimpin
Begitu juga menjadi pemimpin bukan satu masalah. Semua orang suka adanya
pemimpin. Sama ada rakyat suka pemimpin, mahupun yang punya diri suka menjadi
pemimpin. Itu bukan masalah. Semua orang tahu itu bukan masalah. Tetapi bila
tidak takut Tuhan, ia menjadi masalah. Misalnya bila sudah dapat jadi pemimpin,
dia menjadi sombong dan ada kepentingan diri. Dia menjadi zalim lebih-lebih
lagi bila hendak mempertahankan kedudukannya. Dia akan cantas musuh-musuhnya.
Dia akan bagi rasuah supaya ada orang mempertahankannya. Begitulah perkara yang
asalnya bukan masalah tetapi bila tidak takut dengan Tuhan, akhirnya menjadi
masalah.
3. Cara menilai masalah sudah tidak tepat
Selain itu, nilaian manusia hari ini terhadap masalah pun sudah tidak tepat.
Mereka menilai masalah yang kecil dan remeh-temeh sebagai masalah besar.
Katalah miskin itu adalah masalah. Itu remeh-temeh tetapi sudah jadi masalah
besar. Bahkan berlakunya macam-macam masalah dan kerosakan yang lebih besar di
dunia hari ini adalah berasal daripada perkara yang orang anggap bukan masalah.
Semuanya berpunca daripada tidak takut Tuhan.
Kerosakan atau masalah yang ditimbulkan oleh orang miskin atau orang bodoh yang
tidak takut Tuhan hanya kecil-kecil saja. Sebaliknya kerosakan yang dibuat oleh
orang-orang cerdik pandai atau pemimpin yang tidak takut Tuhan, mengakibatkan
negara lingkup dan habis wang serta khazanah negara.
Jadi bila semakin banyak perkara yang dianggap masalah maka semakin banyak
masalah timbul. Perkara kecil jadi besar dan masalah besar dikatakan kecil. Ada
masalah paling besar tapi tidak dianggap masalah iaitu masalah tidak takut
Tuhan. Walhal daripada tidak takut Tuhanlah melahirkan macam-macam masalah.
Yang tidak menjadi masalah pun akhirnya menjadi masalah.
Jadi hal-hal yang beginilah yang mesti difahami oleh semua orang. Kalau tidak
kenal masalah, masalah tidak akan habis. Makin difikirkan masalah, makin banyak
masalah timbul. Sedangkan bagi Tuhan, masalah paling besar ialah orang tidak
takut Tuhan. Bila tidak takut Tuhan, yang buruk bertambah buruk dan yang baik
pun menjadi buruk. Jawatan misalnya, ia perkara baik tetapi bila tidak takut
Tuhan, ia akan jadi negatif dan akan melahirkan kerosakan.
Jadi para pejuang kebenaran mesti berani ketengahkan perkara ini dalam forum,
ceramah, motivasi, majalah atau apa saja media massa supaya dunia dapat melihat
apa sebenarnya masalah yang berlaku. Kalau tidak kenal masalah sebenarnya,
masalah tidak akan habis. Bahkan makin memikirkan masalah, makin banyak masalah
timbul.
Ditekankan lagi bahawa masalah yang paling besar ialah tidak takut Tuhan. Bila
tidak takut Tuhan, yang positif jadi negatif dan yang negatif bertambah
negatif. Yang baik pun menjadi buruk. Yang buruk bertambah buruk. Ini kerana
orang yang tidak takut Tuhan akan menyalahgunakan apa yang ada seperti
menyalahgunakan kemiskinan, kemunduran, sakit, ilmu, kekayaan, jawatan,
kepandaian dan lain-lain lagi. Positif dan negatif akhirnya sudah jadi sama.
Sepatutnya biarlah yang baik tidak jadi masalah. Biarlah masalah atau perkara
yang negatif sahaja yang jadi masalah. Masalah yang sebenar ialah tidak kenal
dan tidak takut Tuhan!
seKIAN DAN SELAMAT BERKUNJUNG KE p88diraja.blogspot.com