Sinar Kebangkitan Ummat ke-Dua

masa itu kian hampir,kebangkitan kini mula menjenguk tabir TAKDIR YANG TELAH DITETAPKAN

MASA UNTUK MEMPERBAHARUI /TAJDID AGAMA ITU AKAN BERJALAN

SALAH........................

BUKAN AGAMA YANG PERLU TETAPI

MANUSIALAH YANG PERLU DIPERBAHARUI


REVOLUSI SPIRITUAL AKAN TERCETUS
SATU FENOMENA BARU AKAN MUNCUL
TIBAKANLAH SAAT ITU YANG KIAN HAMPIR

DENGAN LAFAZ BISMILAHIRRAHMINIRRAHIM...KAMI INGIN LAUNGKAN

SELAMAT DATANG KE

" ERA REVOLUSI SPIRITUAL MANUSIA "

Sabtu, 24 Oktober 2009

FALSAFAH PERNIAGAAN ISLAM


Berniaga bukan semata-mata untuk mencari untung kerana di dalam perniagaan tidak semestinya kita sentiasa mendapat keuntungan. Dalam perniagaan sering juga kita menghadapi kerugian.



Tujuan perniagaan mengikut Islam sebenarnya ialah untuk memperbesarkan, memperpanjangkan dan memperluaskan aktiviti syariat dan dengan tujuan beribadah dan mendapat pahala yang banyak. Justeru di dalam perniagaan, hendaklah kita sentiasa mencari keredhaan Tuhan dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.



Mari kita lihat betapa di dalam perniagaan itu luas sekali syariatnya atau luas sekali ibadah yang berlaku di mana kebaikan dan pahalanya pula amat banyak. Di antaranya:


1. Di dalam Islam berkawan itu disuruh. Di Akhirat kelak, kawan itu boleh memberi syafaat. Melalui perniagaan, kita akan banyak dapat kawan sama ada dari kalangan pembekal-pembekal, kawan-kawan sekerja ataupun para pelanggan.


2. Melalui perniagaan, kita dapat memberi khidmat secara langsung mahupun tidak langsung kepada manusia dan ahli-ahli masyarakat.



3. Islam sangat menggalakkan kerjasama. Di dalam perniagaan banyak terdapat unsur-unsur kerjasama dan peluang serta keperluan untuk bekerjasama.


4. Di dalam perniagaan juga ada banyak tolak ansur, iaitu satu sifat terpuji yang sangat dianjurkan oleh Islam. Kalau tidak ada tolak ansur tidak boleh berniaga.


5. Perniagaan membantu dan memudahkan manusia dan ahli masyarakat mengurus dan mendapatkan keperluan hidup mereka, terutama di bidang makan minum dan keperluan harian. Mendahulukan, mengutamakan dan memudahkan orang lain itu sangat dipandang tinggi dan baik dalam Islam.



6. Dengan berniaga kita dapat menyelamatkan barangan keluaran umat Islam sama ada hasil pertanian, hasil ternakan dan lain-lain dengan mengumpul dan memasarkannya. Kalau tidak, barangan itu akan rosak dan terbuang. Akan timbul pembaziran. Dalam Islam pembaziran sangat dilarang. Menjauhi dan mengelak pembaziran adalah satu kewajipan.


7. Kita dapat memperolehi banyak pengalaman melalui perniagaan sama ada di bidang pengurusan, perakaunan, mengenal barang, mengenal tempat, mengenal cara hidup dan masalah manusia dan lain-lain lagi. Dalam Islam, mencari ilmu dan pengalaman seperti ini sangat dituntut.


8. Dalam berniaga, kita boleh berlatih sabar dan berlapang dada dalam menghadapi berbagai kerenah manusia. Ia sentiasa mencabar emosi dan perasaan kita. Orang yang sabar diberi pahala oleh Tuhan tanpa hisab.


9. Berniaga merupakan salah satu cara untuk memajukan agama, bangsa dan Negara. Ia merupakan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Tuhan di muka bumi supaya dapat dilihat kebesaran Tuhan serta dapat dibesarkan dan dinikmati segala nikmat dan anugerah-Nya agar manusia boleh bersyukur dan mendapat pahala pula di atas kesyukuran mereka itu.


10. Dalam berniaga, kita berpeluang mengeluarkan zakat perniagaan. Dengan itu salah satu dari rukun Islam dapat kita tunaikan. Dapat kita wujudkan salah satu sumber atau saluran untuk membantu fakir miskin dan asnaf-asnaf yang lain. Banyak golongan akan terbantu dan terbela.


11. Perniagaan mewujudkan peluang pekerjaan untuk manusia sebagai sumber mencari rezeki. Dengan perniagaan, manusia boleh mengelak diri dari menganggur yang ditegah oleh syariat. Sekaligus tenaganya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ertinya, dengan adanya perniagaan, tenaga manusia tidak dibazirkan dan manusia itu boleh jadi produktif dengan mengeluarkan hasil untuk faedah manusia lain.


Jelas sekali bahawa dengan apa yang disenaraikan di atas, begitu banyak syariat Islam dapat kita tegakkan melalui perniagaan. Maksudnya, berbagai-bagai aspek dalam Islam dapat kita bangunkan di dalam perniagaan. Apabila banyak aspek yang kita bangunkan maka banyaklah ibadah kita. Oleh itu, tidak hairanlah Islam menganggap orang yang berniaga secara jujur dan menepati kehendak-kehendak syariat itu sebagai orang yang berjihad fisabilillah. Munasabah juga berniaga itu dianggap kerja paling baik dalam Islam kerana kebaikan yang diperolehi oleh masyarakat hasil dari perniagaan adalah terlalu banyak.



nota : artikel di ambil di blog encikt ofiq. falsafah yg sangat mudah dan berkesan tentang 'business in Islam'..selamat membace(diharap enciktofik x kisah psal copy artikel dari blog beliau)

Followers